Sempena Sambutan Hari Ibu di
sebuah hotel, seorang pakar motivasi
dijemput memberi ceramah. Beliau
bertanya kepada beberapa lelaki yang duduk di meja paling depan, “ Siapakah
wanita yang paling anda sayangi?’
masing-mesing menunjukan ke arah isteri masing-masing yang duduk di sebelah.
“Mak masih ada?” Tanya pakar motivasi
itu. Mereka mengangguk.
“Setiap anak lelaki, setiap
anak perempuan yang belum berkahwin, selagi ibu masih hidup, ibulah wanita
pertama yang bertahta di hati kita, ibulah insan yang mesti dicinta, dikasihi
sehebat-hebatnya.
Perbetulkan balik niat kasih anda supaya hidup anda dalam keberkatan Allah sebab ini perintah dari
Allah. Di dalam al-Quran. Rasulullah saw juga telah mengingati kita tiga kali
berturut-turut kewajipan mentaati ibu, kemudian barulah bapa.”
Begitulah hidup manusia,
apabila telah datang insana lain yang kita rasa sudah mampu menyenangkan hati dan
‘kocek’ kita,kita rasa keutamaan segala-galanya harus diberikan kepadanya
sehingga terlepas pandang atau boleh berala kadar dalam memberi kasih kepada ibu.
Lebih malang lagi, ramai anak lebih mengharapkan ibu faham situasi
mereka apabila telah berumah tangga, yang perlu lebih mengasihi isteri.
Sememangnya sifat seorang ibu
selalu berkorban segala-galanya untuk anak-anak, malah telah bersedia menerima
seadanya layanan anak apabila mereka telah berumah tangga. Apa yang selalu ibu katakan
kepada si anak, “ Mak tak nak minta apa-apa.
Mak harap kamu jaga isteri kamu baik-baik, jaga keluarga kamu
baik-baik. Mak doakan keluarga kamu
menjadi orang soleh, boleh doakan mak apabila mak dah tak ada nanti.”
Murninya bicara seorang
ibu. Harga kesolehan keluarga yang bakal
dibina oleh anak dan menantu menjadi taruhannya untuk dia sejahtera ke alam barzakh.
Namun anak mesti faham,
cinta yang utama tetap kepada Allah, Rasul dan ibu. Kasih dan bakti kepada ibu perlu diletakkan
di tempat paling atas.
Kepada para suami, menjadi
tanggungjawabnya untuk mendidik dan mengajak isteri untuk meraikan ibu mentua
(ibu kepada suami) dan menjaga hatinya.
Sesungguh menjadi kewajipan suami menggalakkan isteri memuliakan ibunya
mengikut cara yang telah Allah anjurkan seperti bercakap dengan sopan dan
menunjukkan akhlak yang baik ketika bersama ibu. Perana suami yang membimbing isteri menjadi
isteri solehah sangat membantu ibu makin kasih kepada anak lelaki dan keluarga.
Kepada para isteri, jangan
bangga kalau suami sanggup berhabis-habisan memberi perbagai kemewahan kepada kita,
bimbang kalau-kalau kerana terlalu memenuhi perbagai hajat kita itu, suami kita
tiada masa menjenguk atau bertanya khabar tentang ibu. Hal ini boleh meletakkan diri suami dalam
kederhakaan yang tidak disedari, kerana suami terpaksa berkira-kira dalam memberi
khidmat dan mencurah kasih sayang kepada si ibu. Jangan sampai anak terputus hubungan rohani (hati) dengan si
ibu. Ingatlah Allah boleh beri nikmat
kesenangan sebanyak-banyaknya kepada kita atas apa yang kita usahakan, tetapi
tidak ada nilai berkat andai kita lupa kepada ibu yang telah banyak berjasa
kepada kita.
Oleh itu carilah redha ibu
selalu, ambillah iktibar kisah Al-Qamah pada zaman Rasulullah saw yang terleka
melayan karenah isteri sehingga terlepas pandang meraikan ibunya. Akhirnya si ibu berkecil hati, menyebabkan
al-Qamah susah mengucap kalimah syahadah semasa hendak meninggal dunia. Nabi
saw perintahkan dibuat unggun api untuk membakar mayat al Qamah kerana
mengecilkan hati ibunya. Begitu tegasnya
Nabi saw dalam soal kederhakaan seorang anak kepada ibu kerana syurga itu
terletak di bawah tapak kaki ibu.
Hierarki ketaatan seorang anak ialah kepada Allah swt, Rasulullah saw
dan ibu.
Kepada para-para isteri,
mari kita jadikan diri kita sebagai isteri yang mempermudahkan urusan suami
dalam berbakti kepada ibu. Mudah-mudahan
kita menjadi isteri dan menantu solehah.
Yakinlah bahawa apabila kita mempermudahkan suami menggembirakan ibunya,
itu petanda Allah meredhai kita dan insya-Allah akan dipermudahkan pula
anak-anak mentaati kita yang juga bergelar ibu.
Sumber: Anis mei ’11.
No comments:
Post a Comment