Tiga peringatan penting di sebalik doa Nabi
Ibrahim
Bimbang ditimpa kehinaan pada hari kiamat
SALAH satu doanya, Nabi Ibrahim memohon kepada Allah SWT supaya tidak
ditimpakan kehinaan pada hari kiamat. Nabi Ibrahim berdoa: “Dan janganlah
Engkau hinakan daku pada hari makhluk dibangkitkan hidup semula. Hari yang
padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu
apapun, kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang yang datang menghadap Allah
dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik).” (Surah
al-Syu'ara, ayat 87-89)
Berdasarkan doa diucapkan Nabi Ibrahim, terdapat
tiga perkara yang menarik diberikan perhatian oleh setiap Muslim.
Pertama, kebimbangan Nabi Ibrahim mengenai azab
yang pedih pada hari akhirat. Sebagai Nabi, bahkan bapa segala nabi dan rasul,
juga bergelar Khalil Allah yang bermaksud kekasih Allah, Nabi Ibrahim masih
bimbang serta takut jika ditimpakan kehinaan oleh Allah SWT pada hari kiamat.
Inilah sifat mulia Nabi Ibrahim yang sewajarnya dicontohi.
Kedua, tiadanya nilai harta kekayaan, pangkat kedudukan, pengikut dan waris
keturunan di sisi Allah SWT pada hari kiamat. Untuk neraca piawaian duniawi,
harta dan anak termasuk pengikut adalah petunjuk utama menentukan status serta
darjat social manusia.
Akan tetapi pada hari akhirat nanti, kesemua itu tidak menjadi perkara
penting dan tidak ada harganya kerana kenikmatan di syurga tidak dapat dijual
beli, apatah lagi malaikat sebagai barisan pelaksana perintah Allah tak mungkin
dapat diminta kasihan untuk melepaskan diri daripada azab dan kesengsaraan.
Ketiga, kebersihan hati adalah sumber keselamatan dan kebahagiaan pada hari
akhirat. Jaminan keselamatan dan kebahagiaan hanya diberikan kepada orang yang
datang menghadap Allah dengan hati bersih dan sihat atau qalbun salim.
Dalam kata lain, hati memainkan peranan penting mencerminkan dan
menentukan kemuliaan atau kehinaan peribadi seseorang. Malah, hati juga
dianggap sebagai ejen penentu kepada hidup dan matinya jasad manusia.
Anggota tubuh badan manusia tidak berfungsi secara keseluruhannya kerana
terlucutnya roh yang bertapak dalam hatinya. Hatilah tempat bertapaknya iman,
takwa, sifat mahmudah, niat dan dalam ketika lain, di sinilah juga terletaknya
kekufuran, nifaq serta sifat mazmumah.
Perlu ditegaskan, ada banyak pendapat daripada ulama tafsir berkaitan asal usul
kalimah qalbun salim ini yang asasnya berkisar kepada tiga makna.
Pertama, seperti dikemukakan Ibnu Katsir dan al-Alusi, qalbun salim
bermaksud sejahteranya hati daripada penyakit syirik atau kepercayaan sesat.
Hati sihat bererti memiliki akidah yang benar, lurus, bebas daripada
segala bentuk kemusyrikan dan kesesatan.
Kedua, qalbun salim bererti bersih daripada penyakit hati iaitu sifat mazmumah
seperti riak, hasad dengki, sum’ah, sombong dan sebagainya. Permulaan surah
al-Baqarah, dikemukakan tiga golongan manusia iaitu orang yang bertakwa
(al-muttaqun), orang kafir (al-kafirun) dan orang munafik. (al-munafiqun).
Golongan yang disebut terakhir ini adalah orang yang hatinya berpenyakit
seperti ditegaskan Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud: “Dalam hati
mereka (golongan yang munafik itu) ada penyakit (syak dan hasad dengki), maka
Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh
azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan
mendustakan kebenaran. ( Surah al-Baqarah ayat 10.)
Hati yang bersih dipenuhi dengan iman, hidayah petunjuk dan takwa. Di dalamnya,
sarat gelora kerinduan, kecintaan, ketaatan dan ketundukan yang kudus kepada
Allah. Justeru, hati adalah tempat bertapaknya nilai kebaikan seperti khusyuk,
tawaduk, sabar, tawakal, syukur, istiqamah, pemaaf dan sifat mahmudah lain.
Ketiga, seperti badan yang sihat, hati sihat juga memiliki kesempurnaan
dan kekuatan melakukan tugas sesuai dengan maksud penciptaannya sebagai hamba
dan khalifah Allah. Fungsi hati yang utama adalah untuk mengenal Allah SWT,
iaitu dengan iman dan takwa, seperti maksud sabda Rasulullah SAW: “Takwa itu di
sini, dan Baginda SAW menunjuk ke dadanya sebanyak tiga kali.” (Hadis riwayat
Baihaqi)
Satu perkara tidak dapat disangkal adalah hati yang sihat sumber segala
kebaikan dan pendorong amal salih. Di sini, hanya hati yang disebut sebagai
sumber keselamatan dan kebahagiaan pada hari akhirat, bukannya anggota tubuh badan
lain.
Hal ini, menurut imam al-Razi, kerana jika hati sihat, seluruh anggota badan
yang lain ikut sihat. Jika baik hati, maka baiklah seluruh anggota tubuh yang
lain dan begitulah sebaliknya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya dalam jasad itu ada
segumpal daging. Apabila dia baik, maka baiklah seluruh jasad. Tetapi, apabila
dia rosak, maka rosaklah seluruh jasadnya. Ketahuilah bahawa dia itu ialah
hati.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi (.2012/05/25
– berita harian)