Welcome to my world....... A blog of my heart. The next time you are on your keyboard, do browse thru' my blog and find the time to read my posts. . Comments and opinions are most appreciated.......Thanks for dropping by..

Saturday, 30 June 2012

KISAH HIDUP....

Andai Dia Pergi dulu Sebelummu...


Andai dia pergi dulu sebelummu,  sapulah air mata dan teguhkanlah jiwa. Kita yang masih hidup perlu menyambung perjuangannya.  Tidak mengapa bersedihlah seketika.  Itu fitrah jiwa.  Namun, sederhanalah kerana esok kau mesti bangkit semula.  Katakan pada dirinya..kau telah pergi, pergi bersama doaku.  Kau tunggu di sana, pasti aku akan menyusul nanti!

Andai dia pergi dulu sebelummu, tanyakan pada hatimu yang sebati dengan hatinya, apa yang dia inginkan jika dia masih di sisi?  Renung wajah anak-anakmu, lontarkan fikir melampau kesedihan.  Anak-anakmu segala cita-cita dan harapan. Jangan sampai nestapa ini menjadi halangan.  Apakah kau tega mengecewakan?

Andai dia pergi dulu sebelummu, katakana pada diri, akanku galas amanah ini.  Sekiranya terpaksa bertongkat dagu pun, aku tidak akan lemas dipagut sendu.  Berjuanglah, agar dia biasa senyum di barzakh itu.  Oleh nukilan doa anak yang soleh dan solehah.  Kalau benar cinta itu setia, anak-anak itulah titiannya.  Di jambangan munajat, di taman ibadat, tentu ada sungai pahala.. yang mengalir selamanya.

Andai dia pergi dulu sebelummu, walaupun dia tidak akan kembali lagi, tetapi itu akhir pertemuan.  Dulu kita bertemu untuk berpisah.  Kini kita berpisah untuk bertemu.  Inilah jalan taqwa yang telah dilalui oleh Siti Aishah, Siti Habshah, Ummu Salamah, Mariah Qibtiyah apabila ditinggalkan Rasulullah.  Syukur kau terpilih untuk melalui jalan mujahadah.  Mujur kau ditakdirkan merasai mehnah Illahi – tradisi hidup Ummahatul Mukminin yang ditinggalkan suami!

Andai dia pergi dulu sebelummu, sibuklah dirimu.  Beribadahlah sehingga kau letih untuk merasa letih.  Gembirakanlah hatimu dengan menggembirakan orang lain.  Carilah peluang kebajikan dan kebaikan yang bertaburan.  Apabila sesekali kesedihan datang tanpa diundang, berwudhuk dan bacalah al-Quran. Dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu satu kerehatan.  Begitulah setiap kali Rasulullah saw apabila terasa gundah...diadukan kesedihan kepada Allah.

Andai dia pergi dulu sebelummu, bisikan ke dalam hatimu yang paling dalam.  Dia bukan milikku.  Pemilik segala ialah al-Malik.  Allah yang memiliki dan menguasai segala-segalanya.  Pada kita hanya amanah, sampai masanya terpaksa diserah.  Jangan ada rasa dimiliki, dan jangan ada rasa memiliki.  Apabila terasa sepi, jangan katakan aku sepi...tapi katakan padaku sentiasa ada pemerhati.

Sumber: anis okt ‘09

No comments:

Post a Comment